Tuesday, July 2, 2013

Alternatif Menahan Sakit Kontraksi BERSALIN





Walaupun sakit kontraksi digeruni, namun ia penting kerana setiap tingkat kesakitan menunjukkan bahawa masa untuk kelahiran sudah hampir. Sekiranya anda tidak mampu menahan sakit kontraksi, bolehlah cuba kaedah alternatif berikut untuk menahan kesakitan.

EPIDURAL
Sejenis ubat bius untuk melegakan rasa sakit dengan menjadikan saraf di bahagian bawah badan berasa kebas untuk seketika.
Kaedah ini berkesan untuk melegakan kesakitan terutama di bahagian pinggang belakang.
Cara pengambilannya adalah dengan menyuntik cecair epidural ke pinggang belakang melalui satu tiub.
Apabila ubat bius mulai berkesan, anda tidak akan berasa sakit dan masih sedar sepenuhnya.
Namun bagi sesetengah ibu hamil, mereka akan berasa pening atau sakit kepala malah boleh berlanjutan selama beberapa jam.
Ubat bius ini tidak memberi kesan kepada bayi.
Pengambilan ubat bius ini perlu dilakukan berhati-hati. Jangan sampai kelahiran peringkat kedua, kesan bius tadi masih tidak hilang. Akibatnya, anda tidak mampu menolak keluar bayi dan doktor terpaksa membuat episiotomi atau kelahiran forsep.

ENTONOKS (GAS DAN UDARA)
Campuran oksigen dan nitrus oksida boleh melegakan rasa sakit walaupun tidak sepenuhnya seperti epidural.
Jadi kesan kontraksi masih lagi terasa. Ia sangat berguna untuk kelahiran peringkat pertama.
Prosedur entonoks ini bermula dengan menyedut gas melalui topeng. Topeng itu disambungkan ke silinder yang mempunyai dua gas tadi.
Gas ini memerlukan masa setengah minit untuk sampai ke kemuncak. Oleh yang demikian, anda perlu menyedut gas ini untuk beberapa ketika sehingga doktor menyuruh berhenti.
Adakalanya penggunaan gas ini menyebabkan ibu hamil berasa pitam.

PETIDINA
Ubat ini biasanya diambil seawal kelahiran peringkat pertama. Ia dapat diambil oleh ibu hamil yang tidak dapat mengawal perasaan cemas atau sukar untuk merehatkan diri.
Ubat ini diberikan melalui suntikan pada punggung atau paha.
Petidina akan bertindak 20 minit kemudian dan berfungsi sehingga dua hingga tiga jam.
Kesan pengambilan ubat berbeza pada setiap wanita. Sesetengah akan berasa tenang, selesa berehat dan sedikit mengantuk tetapi masih dalam keadaan sedar.
Sesetengahnya mengadu tidak dapat mengawal diri dan rasa mabuk.Badan berasa tidak sihat dan tidak mahu banyak bergerak.
Sekiranya ubat ini diberikan hampir kepada kelahiran peringkat kedua, bayi mungkin akan mengalami sesak nafas dan mengantuk.
Keadaan ini tidak mendatangkan masalah kerana kesan tersebut akan hilang setelah beberapa ketika anak dikeluarkan



TENS
Ia dapat mengurangkan rasa sakit dan merangsang sistem kelegaan sakit semulajadi badan melalui impuls kecil arus elektrik pada bahagian belakang badan.
Cara penggunaan TENS ini adalah dengan meletakkan empat pad yang mengandungi rod elektrod pada sepanjang tulang belakang yang menampung perut.
Pad ini disambung oleh wayar ke suatu kawalan yang dipegang dengan tangan. Anda boleh mengawal kekuatan arus elektrik yang disalurkan.
Kaedah ini dapat mengurangkan kesakitan untuk sesetengah wanita hamil terutama jika digunakan pada kelahiran tahap pertama.
Namun, bagi sesetengah wanita menganggap kaedah ini tidak membantu kerana rasa sakit tetap ada.


No comments:

Post a Comment